KEDUA-dua kaki Izzakif Aisy Iffat terpaksa disimen sejak berusia 21 hari dan setiap kali menjalani rawatan. Foto NSTP/MARY VICTORIA DASS
KEDUA-dua kaki Izzakif Aisy Iffat terpaksa disimen sejak berusia 21 hari dan setiap kali menjalani rawatan. Foto NSTP/MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


“DUA kaki Izzakif Aisy Iffat terpaksa disimen sejak berusia 21 hari dan setiap kali menjalani rawatan, sukar untuk saya gambarkan penderitaannya," kata ibunya, Nurul Ain Hassan, 32.

Nurul Ain berkata, menjadi rutin mingguan dia dan suami, Iffat Ahmad, 32, membawa anak bongsu daripada dua beradik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi merawat kaki.

Menurutnya, kaki bayi yang kini berusia tujuh bulan terpaksa disimen dari paha ke hujung jari iaitu sepanjang kira-kira 15 sentimeter setiap tiga hingga empat kali seminggu.

"Doktor menyatakan dari segi ratio, hanya satu daripada 1,000 bayi dilahirkan dengan keilatan dialami anak kami.

"Dia dilahirkan dengan masalah kaki bengkok atau congenital talipes equinovarus (CTEV) bilateral clubfoot atau kaki pangkor.

"Masalah dialami Izzakif Aisy dikenal pasti sejak dia dilahirkan dan pernah menjalani pembedahan di kaki bagi merenggang urat tegang pada 26 Jun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Cengal, Taman Putri, Kulai, semalam.

Suri rumah itu berkata, proses simen kaki Izzakif Aisy tidak dihentikan sebaliknya ia diteruskan semula selepas beberapa minggu pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pada masa sama keluarganya dinasihatkan membeli kasut khas untuk kegunaan Izzakif Aisy hingga berusia tiga hingga lima tahun.

"Penderitaan dialami Izzakif Aisy setiap kali kakinya disimen sukar digambarkan dengan setiap rawatan memakan masa dua hingga tiga jam.

"Disebabkan dia aktif bergerak, simen yang dipasang mudah tercabut atau beralih hingga kedudukan kakinya kembali seperti asal dan ia mengakibatkan kakinya perlu disimen semula," katanya.

Nurul Ain berkata, Izzakif Aisy dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan mulai bulan depan.

"Bagi memudahkan Izzakif Aisy mendapatkan rawatan, suami terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak beberapa bulan lalu dan membantu rakan menjual pakaian.

"Kini pendapatannya hanya kira-kira RM1,000 dan hampir 70 peratus digunakan untuk menampung kos tambang ke hospital selain perubatan anak," katanya.

Nurul Ain berkata, keluarganya terpaksa berjimat demi Izzakif Aisy.

"Pada masa sama, kami perlu menyara anak sulung lelaki, Irfan Aidil Aqasha, tujuh tahun.

"Kami difahamkan peluang Izzakif Aisy untuk sembuh adalah 97 peratus, namun secara berperingkat dan mengikut peningkatan usia.

"Saya dan suami sanggup menghadapi sebarang cabaran dalam usaha memulihkan Izzakif Aisy supaya dia boleh sihat seperti manusia normal," katanya.

Nurul Ain berkata demikian selepas menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan daripada Pasaraya Econsave Cash and Carry.

Hadir menyampaikan sumbangan, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.

Mas Imran berkata, pihaknya berharap sumbangan itu mampu meringankan beban keluarga berkenaan.

"Kisah bayi berkenaan yang tular di media sosial mendorong kami menyampaikan sumbangan," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Izzakif Aisy menerusi akaun Maybank bapanya di 156226307076.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 2:39 PM