MAS Imran (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Salmah di Pasaraya Econsave Kulai, hari ini. Foto MARY VICTORIA DASS
MAS Imran (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Salmah di Pasaraya Econsave Kulai, hari ini. Foto MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


LIMA beranak yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Taman Kelapa Sawit, Kulai, awal pagi kelmarin menerima sumbangan Pasaraya Econsave Cash And Carry, hari ini.

Mangsa Salmah Rasidi, 58, berkata dalam kejadian itu dia turut mengalami kecederaan ringan di kaki dan muka ketika menyelamatkan diri daripada terperangkap.

Katanya, kejadian menyebabkan keluarganya hilang tempat tinggal serta menanggung kerugian ribuan ringgit apabila pelbagai barangan berharga musnah.

“Saya tidak terfikir untuk menyelamatkan barang atau dokumen kerana mengutamakan nyawa anak dan saya.

“Saya yang terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi bising mendapati rumah dijilat api lalu terus mengejutkan anak perempuan berusia 16 tahun yang nyenyak tidur.

“Ketika menyelamatkan diri, kedua-dua kaki saya terseliuh, namun saya menguatkan semangat dan terus menyelamatkan diri dan anak,” katanya

Salmah berkata demikian ketika menerima sumbangan barangan keperluan disampaikan oleh Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam di Pasaraya Econsave Kulai, hari ini.

Ketika kejadian, hanya Salmah dan anak perempuannya berada di rumah, manakala suami serta dua anak lelakinya ke restoran berhampiran.

Katanya, buat masa ini, dia menumpang di rumah anaknya di kawasan berhampiran.

“Suami sudah berusia 60 tahun dan sudah pencen. Kami berdua bergantung kepada anak-anak dan tidak mungkin mampu menanggung kos membaik pulih rumah yang musnah,” katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000 bagi meringankan beban mangsa kebakaran berkenaan.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat digunakan sebaik mungkin dan mendoakan keluarga berkenaan tabah berdepan dugaan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 6:53 PM