MUHAMMAD Afifudin (kanan) menerima sumbangan daripada Mas Imran.
MUHAMMAD Afifudin (kanan) menerima sumbangan daripada Mas Imran.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Pengorbanan seorang pemuda yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang koma di rumah keluarga di Taman Universiti di sini, sejak pertengahan Mac lalu mendapat perhatian Pasaraya Econsave Cash And Carry.

Beban ditanggung Muhammad Afifudin Syariffudin, 20, diringankan menerusi sumbangan barangan dapur dan keperluan bapanya bernilai RM1,000.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan Mohd Afifudin dan bapanya, Syariffudin Kasim, 41, apabila nasib malang keluarga berkenaan tular di aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan Mohd Afifudin hilang punca pendapatan kerana berhenti kerja di sebuah restoran makanan ringan untuk menjaga bapanya yang terlantar di rumah mereka di Jalan Perubatan 6, Taman Universiti.

“Selain barangan dapur, kami menyumbangkan lampin pakai buang dan susu khas disyorkan doktor kepada bapa Mohd Afifudin.

“Kami berharap Mohd Afifudin menggunakan sumbangan berkenaan sebaik mungkin dan tabah menghadapi dugaan Allah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Afifudin berkata, sebagai anak sulung, dia terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu untuk memberi perhatian kepada bapanya.

Menurutnya, pada 24 Januari lalu, bapanya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) apabila pembuluh saraf otaknya pecah akibat tekanan darah tinggi.

Katanya, bapanya juga menderita masalah lebihan cecair di otak dan jangkitan kuman.

“Sepanjang 47 hari menerima rawatan di HSA, bapa terpaksa menjalani tiga pembedahan dan bapa tidak sedarkan diri selepas pembedahan kedua hingga kini.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada pihak yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Muhammad Afifudin di 7620 222284.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:40 AM