MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Nurfararina Abdullah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Nurfararina Abdullah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Syukur Allah menggerakkan hati saya untuk mengalihkan bayi selepas terlihat cahaya merah dari belakang rumah, selang beberapa saat kemudian tingkap gelangsar menghempap tilam bayi," kata mangsa kebakaran, Nurfararina Abdullah.

Dia berkongsi detik mencemaskan kediamannya terbakar di Kampung Pasir Putih di sini, hari ini.

Nurfararina, 22, berkata, dia masih tidak boleh melupakan saat getir menyelamatkan anak sulung perempuannya, Nur Aadra Fateema yang berusia empat bulan dan neneknya, Jemah Yat, 81, yang tinggal bersamanya.

Menurutnya, ketika kejadian pada 2 pagi itu, dia bersama suami, Muhammad Anif Al-Afiz, 22, berada di bilik tidur bersama Nur Aadra Fateema, neneknya pula berada di bilik berasingan.

Katanya, dia terlihat cahaya merah dari menerusi tingkap gelangsar sebelum mendukung bayinya.

"Saya khuatir ada kebakaran berlaku di belakang rumah dan mengejut suami, selang beberapa saat tingkap gelangsar berkenaan jatuh menghempap tilam bayi.

"Ketika kami keluar bilik, saya mendapati nenek berdiri berhampiran bilik saya dan ruang tamu kami sudah dipenuhi asap.

"Kejadian berlaku dalam sekelip mata, saya menyelamatkan diri bersama bayi dan nenek, manakala suami pula cuba selamatkan beberapa barangan sebelum menyelamatkan diri," katanya.

Nurfararina berkata, walaupun keluarganya tinggal sehelai sepinggang namun dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.

Menurutnya, dia dan keluarga juga menumpang di kediaman ibu saudara terletak bersebelahan dengan kediamannya sementara membaik pulih kediamannya itu yang berusia lebih 10 tahun.

"Selain kehilangan tempat tinggal, pelbagai barangan keperluan anak dan nenek juga mengalami kerosakan termasuk lampin pakai buang mahupun susu.

"Saya hanya bekerja kilang, manakala suami pula bekerja sebagai pemandu bot dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,700.

"Kami bersyukur kerana ada insan berhati murni menyatakan akan membantu meringankan beban untuk membaik pulih bumbung mengalami kerosakan dalam tempoh terdekat.

"Kami reda dengan kejadian ini dan yakin terdapat hikmahnya, kami akan berusaha untuk memperbaiki kehidupan secara berperingkat," katanya ketika ditemui di sini.

Nurfararina menerima sumbangan barangan elektrik dan keperluan bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash and Carry.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah itu.

"Harap ia membawa keceriaan bagi mangsa kebakaran dan memberi semangat kepada mereka untuk pulih daripada ujian dihadapi," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun bank CIMB Bank Nurfararina Abdullah, 7635550276.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:23 PM