SYDNEY Engelbert.
SYDNEY Engelbert.
BERNAMA

Keningau: Sewaktu zaman kanak-kanaknya, Sydney Engelbert gemar menonton kartun berbahasa Inggeris, bukan sekadar untuk hiburan tetapi juga sebagai wahana mempelajari dan menguasai bahasa itu.

Kini, pada usia 30 tahun, Sydney mengajar subjek Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau (KV Keningau) di sini. Daerah ini adalah kawasan pedalaman yang terletak kira-kira 109 kilometer di selatan Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam tempoh lima tahun sejak mengajar di kolej itu, Sydney membuktikan dirinya adalah seorang guru yang komited dalam menjalankan tanggungjawab dan menerima pengiktirafan antarabangsa atas sumbangannya.

Baru-baru ini, Sydney yang berketurunan Kadazandusun dari Kampung Kiawan di Tambunan, Sabah, dinamakan sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024 (CDTA) bagi Rantau Asia Tenggara dan Pasifik, bersama-sama lapan lagi yang mewakili rantau masing-masing di seluruh dunia.

Sydney memenangi anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap usahanya dalam memperkaya pengalaman pembelajaran penuntutnya menerusi program pertukaran dalam talian yang dimulakan beliau pada 2022, membabitkan beberapa kolej vokasional di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.

Hakim kagum dengan komitmen beliau dalam membantu membangunkan kemahiran Bahasa Inggeris dan komunikasi pelajarnya yang tinggal jauh di kawasan pedalaman serta jarang keluar ke kawasan lain.

Dianjurkan oleh Cambridge University Press and Assessment (sebahagian daripada University of Cambridge di England dan peneraju dunia dalam penerbitan penilaian, pendidikan, penyelidikan dan akademik), CDTA adalah pertandingan peringkat global dengan masyarakat umum - pelajar, ibu bapa atau guru lain - mencalonkan guru sekolah rendah dan menengah untuk dianugerahi pengiktirafan itu atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang mereka.

Panel hakim akan memilih sembilan pemenang peringkat rantau sementara orang ramai mengundi pemenang keseluruhan CDTA. Bagi CDTA 2024, pemenangnya masih belum diumumkan.

Menurut laman sesawang Cambridge University Press and Assessment, CDTA 2024 menerima hampir 15,000 pencalonan.

Ditanya tentang program pertukaran dalam talian itu, Sydney berkata idea tercetus apabila beliau menyedari ramai pelajarnya menjadi kurang berminat untuk belajar akibat burnout (lesu upaya) selepas terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah pada 2020 dan 2021, susulan penularan pandemik Covid-19.

"Bagi mereka, pembelajaran di rumah tidak sama (dengan belajar secara bersemuka di sekolah)," katanya.

Guru muda itu kemudian bekerjasama dengan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi memulakan program pertukaran dalam talian, di mana pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran baharu menerusi kelas yang dijalankan oleh guru di tempat lain di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.

Beliau berkata, menerusi program pertukaran itu, pelajarnya bukan saja dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi juga kemahiran komunikasi, kompetensi budaya dan pengetahuan melangkaui tajuk dalam kurikulum pengajian.

"Program ini melengkapi pembelajaran di dalam kelas," katanya, menambah pelajarnya bukan sahaja beroleh "kenalan baharu" tetapi juga mempelajari perkara dan subjek di luar tajuk kursus yang diikuti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 8:58 AM