ALIAS ketika berceramah di Seberang Takir malam tadi. FOTO Malik Muhamad
ALIAS ketika berceramah di Seberang Takir malam tadi. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Nerus: Calon Pas Parlimen Kuala Nerus dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Datuk Dr Alias Razak menepis dakwaan yang mengatakan beliau berkelakuan kasar dan sombong ketika bertemu 'musuhnya' daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Suhaimi Hashim ketika berkempen.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal itu menempelak calon PH itu yang bagaikan sengaja mahu mencetuskan insiden 'panas' ketika bertembung dalam keadaan hujan renyai-renyai semasa berkempen di pasar minggu Kampung Serdang, Kuala Nerus, petang kelmarin.

"Kebetulan saya bertembung di pasar minggu di Serdang, ketika itu hujan renyai-renyai... dia (Suhaimi) mahu bersalam, saya hulur tangan untuk bersalam. Tiba-tiba dia tarik tangan saya mahu berpeluk.

"Saya maklum kepadanya keadaan hujan nak peluk macam mana? Lagipun saya tidak begitu mesra mana dengan dia (Suhaimi), jadi saya tidak menerima pelawaannya untuk berpeluk dalam keadaan hujan.

"Saya maklum kepada dia (Suhaimi) supaya teruslah berkempen kerana saya pun berkempen sambil saya meneruskan berjalan.

"Dakwaan mengatakan saya sombong adalah melampau kerana suasana ketika itu tidak mengizinkan kerana hujan, nak bersalam tiada masalah, orang lain pun sama saja saya bersalam. Jadi calon PH itu usah putar belitkan keadaan, sebaliknya berkempen secara sihat dan profesional," katanya ketika ditemui di Markas PAS Kampung Batin, Seberang Takir, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan pemerhati politik yang mengatakan undi Pas akan berkurang selepas bekas calon Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali 'menyarung jersi' Barisan Nasional (BN), beliau menafikannya.

"Selepas enam hari turun padang, saya tidak melihat penyokong Pas berpaling tadah. Yang rapat dengan beliau (Mohd Khairuddin) saja yang 'lari' kepada Umno, yang lain sama saja bersama dengan Pas.

"Orang Pas tetap setia dengan Pas, mereka tidak memilih calon tapi parti, walaupun tidak belajar tinggi tapi mereka akan pegang kukuh, mereka tahu perjuangan kita ini bukan mahu mengejar wang ringgit tapi menegakkan syiar Islam.

"Jadi bukanlah kekuatan BN untuk menang dalam PRU ini, malah sesetengah penyokong BN pula marah kepada BN kerana mengambil bekas orang Pas jadi calon mereka, itu sudah ada tanda protes.

"Strategi saya untuk menumpaskan calon BN itu ialah turun padang dan mendekati penduduk termasuk menyelesaikan masalah yang timbul, saya hanya tidur kurang empat jam sehari dan saya yakin majoriti akan lebih banyak diperolehi Pas selepas melihat gelombang yang berlaku di Kuala Nerus ini," katanya.

Selain calon BN dan PH, Dr Alias menerima tentangan daripada calon Pejuang, Azaha Wahid.

Berdasarkan rekod PRU-14 pada 2018, Pas yang ketika itu diwakili Mohd Khairuddin menang dengan majoriti 8,447 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 4:12 PM