GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Irwan Shafrizan Ismail


Cyberjaya: Empat mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Klang, Selangor disahkan positif Covid-19, setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kesemua mangsa dijangkiti virus itu sebelum kejadian banjir dan sudah diasingkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) sedia ada.

"Saya difahamkan semalam di PPS ada empat warga tempatan daripada dua keluarga dikesan Covid-19 sebelum banjir berlaku.

"Mereka sudah diisolasi di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman mengikut SOP kita," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 di PPS seperti mana protokol kesihatan yang dilaksanakan sejak awal tahun.

Katanya, ujian berkenaan hanya akan dilakukan terhadap mangsa yang mempunyai gejala, sejajar dengan usaha negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Berdasarkan data di Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak lapan PPS dibuka menempatkan 768 mangsa daripada 183 keluarga di tiga negeri iaitu Johor, Kelantan dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 1:04 PM