FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 11 kes positif Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir di Kelantan sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada 11 kes yang dilaporkan, sebanyak lima kes dikesan melalui saringan kemasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, manakala enam kes lagi sudah diketahui sebelum mereka berpindah ke PPS.

"Kesemua kes ini diasingkan daripada mangsa banjir yang lain iaitu empat kes ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), dua di PPS khas dan lima kes lagi di PPS berlainan blok dengan mangsa banjir lain.

"Setakat ini, tiada kluster membabitkan mangsa banjir di PPS kerana petugas kesihatan akan membuat saringan sebelum dimasukkan ke PPS," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, bagi mangsa banjir yang mempunyai gejala, pihaknya berharap mereka memaklumkan kepada petugas kesihatan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 kepada orang lain.

Menurutnya, pemberitahuan awal akan memudahkan urusan untuk membuat rawatan dan proses kuarantin seperti yang ditetapkan.

"Kita juga minta mangsa sentiasa menjaga diri dan keluarga masing-masing bagi memastikan mereka sentiasa sihat dan tidak dijangkiti Covid-19.

"Kerjasama ini amat penting untuk menurunkan angka jangkitan Covid-19 di Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Kelantan merekodkan kes baharu Covid-19 sebanyak 1,200 kes, semalam.

Daripada jumlah itu, 1,173 kes adalah kategori 1 dan 2, manakala 27 kes adalah kategori 3, 4 dan 5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:27 PM