MOHD Yusri.
MOHD Yusri.
BERNAMA

Ipoh: Polis Perak menerima satu laporan berhubung satu hantaran di media sosial berkaitan poster berunsur fitnah membabitkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan dibuat oleh seorang lelaki berumur 47 tahun di Balai Polis Tapah, kira-kira 6 petang semalam selepas terbaca komen di media sosial TikTok dan Facebook.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri menasihati parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya memastikan semua bendera, kain rentang, sepanduk, poster dan risalah, tidak mengandungi sebarang unsur yang berkecenderungan menghasut, mengaibkan serta boleh menimbulkan ketegangan dan ketenteraman kepada orang awam.

"Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500/504/505 Keseksaan atau mana-mana undang-undang lain mengikut kesesuaian ke atas pihak yang berbuat sedemikian," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata sebanyak 11 laporan polis harian diterima sejak semalam berkaitan PRU dan tiga kertas siasatan dibuka setakat ini.

Katanya polis meluluskan permohonan permit 159 ceramah di seluruh negeri manakala tiga ceramah diadakan tanpa permit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 1:37 PM