GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebanyak 41 permit ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini diluluskan, semalam.

Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, 22 permit diluluskan bagi kawasan Parlimen Pulai dan 19 permit bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

"Bagi kawasan Parlimen Pulai, sebanyak lima permit ceramah dan 17 permit kempen diluluskan, manakala, bagi kawasan Dun Simpang Jeram, sebanyak 18 permit ceramah dan satu permit kempen diluluskan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Polis Johor sudah meluluskan 140 permit daripada 148 permohonan sepanjang kempen PRK sejak 26 Ogos lalu hingga semalam.

"Dua kertas siasatan juga sudah dibuka sepanjang tempoh berkempen itu yang membabitkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada masa masa, beliau menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, gegantung, bendera, kain rentang mana-mana parti politik dengan mencabut atau membakarnya.

"Hal ini adalah satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul,

mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 10:49 AM