GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) merekodkan peningkatan kes kemalangan maut membabitkan kenderaan berat dan kenderaan berhenti di lorong kecemasan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, statistik menunjukkan kemalangan kenderaan berat meningkat dua peratus berbanding tahun 2019.

"Kemalangan di lorong kecemasan membabitkan kenderaan rosak pula meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun 2019.

"Kajian turut menunjukkan bahawa kenderaan berat adalah penyumbang utama kepada masalah pengurusan trafik apabila berlakunya kemalangan selain isu halangan membabitkan cebisan tayar kenderaan berat," katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai Mesyuarat Koordinasi Plus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diketuai Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan di Akademi JPJ di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, kedua-dua pihak bersetuju bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut akibat kenderaan berat dan kemalangan membabitkan penunggang motosikal pada tahun hadapan.

Zakaria berkata, Plus dan JPJ akan mengambil beberapa pendekatan baharu dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan termasuk penguatkuasaan secara digital menggunakan kamera ANPR dan teknologi Weight-In-Motion untuk mengenalpasti kenderaan berat melebihi had muatan.

Beliau berkata, kenderaan yang membawa lebih muatan berpotensi menyebabkan kemalangan akibat hilang kawalan, rosak dan tayar pecah selain daripada merosakkan permukaan jalan.

Katanya, statistik Plus turut menunjukkan kawasan lebuh raya berhampiran kawasan perindustrian adalah lokasi kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

"Sehingga September lalu, Plus merekodkan 333 kehilangan nyawa akibat kemalangan dan daripada jumlah itu, 216 membabitkan penunggang motosikal.

"Justeru, mesyuarat koordinasi Plus dan JPJ berkenaan turut menggariskan kolaborasi komunikasi strategik bagi advokasi terhadap pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal," katanya.

Kolaborasi Plus dan JPJ terjalin sejak sekian lama dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya.

Sejak 2017, sebanyak 317 Ops Halangan dilaksanakan di lebuh raya, malah Plus juga turut menyumbang tiga Stesen Penguatkuasaan JPJ, sebuah Pusat Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) dan kenderaan rondaan JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 6:02 PM