Aedy Fadly (kiri), memeriksa kenderaan berat yang melakukan kesalahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar (Timur), Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aedy Fadly (kiri), memeriksa kenderaan berat yang melakukan kesalahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar (Timur), Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan bermula minggu hadapan, susulan kejadian kemalangan membabitkan 14 kenderaan yang meragut dua nyawa di Putrajaya, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, operasi berkenaan akan dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain.

"Kita (JPJ) sudah mengeluarkan arahan kepada pengarah di setiap negeri untuk menjalankan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan berkaitan lebihan muatan.

"Operasi berkenaan akan diketuai oleh setiap Pengarah JPJ negeri dan Bahagian Penguatkuasa di ibu pejabat juga diarah membuat pemantauan serta menyediakan laporan," katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar (Timur) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, laporan operasi itu akan diserahkan kepada pengurusan tertinggi JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 10.20 pagi, dua penunggang motosikal maut, manakala tujuh cedera selepas sebuah treler muatan batu pasir merempuh 14 kenderaan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong berdekatan susur keluar Jalan Persiaran Timur, Putrajaya.

Kenderaan yang terbabit adalah sebuah treler dan sebuah lori, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal anggota polis trafik.

Berikutan kejadian itu, pemandu treler iaitu lelaki berusia 29 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 9:09 AM