Tan Sri Razarudin Husain, melawat ke Pusat Kawalan Trafik PLUS ketika Majlis Pelancaran Op Selamat ke - 21 Sempena tahun Baharu Cina 2024 di Dewan Banquet Persada Plus, Subang, Selangor. Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar (dua dari kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tan Sri Razarudin Husain, melawat ke Pusat Kawalan Trafik PLUS ketika Majlis Pelancaran Op Selamat ke - 21 Sempena tahun Baharu Cina 2024 di Dewan Banquet Persada Plus, Subang, Selangor. Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar (dua dari kiri). FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Perhatian serius dan langkah lebih drastik perlu diambil terhadap pemandu serta operator kenderaan berat berikutan trend kemalangan membabitkan kenderaan itu meningkat.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, ia bukan sahaja pada musim perayaan malah pada setiap masa memandangkan peningkatannya yang semakin serius dan membimbangkan.

Menurutnya, walaupun jumlah kenderaan berat yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan(Plus) hanyalah lapan peratus namun kematian akibat kemalangan menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah kematian di sepanjang Lebuh Raya Plus tahun lalu.

"Rekod Plus menunjukkan 12 peratus daripada keseluruhan jumlah kenderaan berat di lebuh raya adalah melebihi muatan yang dibenarkan sehingga menjangkau 24 tan per gandar berbanding 12 tan yang dibenarkan.

"Ini amatlah berisiko tinggi dan akan menyebabkan peningkatan insiden dan kemalangan akibat kerosakan brek dan tayar dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Op Selamat 21 dan perasmian VSP 2.0 di Persada Plus, di sini, hari ini.

Nik Airina berkata, pihaknya terkesan dan tersentuh berhubung kemalangan membabitkan kenderaan berat sehingga mengakibatkan tiga anggota tentera terkorban baru-baru ini.

"Malah, selang sehari selepas itu, dua lagi pemandu lori terkorban akibat kemalangan kenderaan berat di laluan Gopeng Simpang Pulai.

"Kemalangan seperti ini juga menyebabkan kesesakan teruk dan menyukarkan serta mengganggu perjalanan pengguna yang lain.

"Kerosakan dan kemalangan kenderaan berat memerlukan tempoh panjang untuk diuruskan kerana ia tidak mudah untuk dialihkan dan memerlukan penggunaan jentera berat dan sebagainya," katanya.

Selain itu katanya, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan di Lebuh Raya Plus pada tahun 2023.

"Seperti tahun ini, Plus memberikan fokus kepada pengurangan kadar kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal dan kenderaan berat.

"Oleh itu, kami berkolaborasi bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meningkatkan aspek penguatkuasaan undang-undang di sepanjang jajaran lebuh raya kendalian kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 5:37 PM