Nurul Hidayah Bahaudin


Klang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membekukan cuti 2,200 pegawai dan anggota penguatkuasa bermula 29 April ini hingga 8 Mei nanti bagi memastikan Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) berjalan lancar.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, daripada 2,200 pegawai dan anggota berkenaan, kira-kira 300 daripadanya bertugas di Selangor.

"Bagi mencapai objektif utama iaitu memastikan persekitaran jalan raya selamat serta menurunkan kadar kemalangan, kami merancang beberapa strategi operasi sepanjang Op HRA bermula 29 April ini hingga 8 Mei nanti.

"Ini termasuk melakukan pemeriksaan bas di depoh dan terminal bas di seluruh negara, penguatkuasaan di lebuh raya serta jalan utama, operasi khas motosikal, operasi penyamaran anggota sebagai penumpang bas dan Operasi Lesen Permit Sementara (LPS) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi kenderaan perkhidmatan awam.

"Justeru itu, kami membekukan cuti 2,200 pegawai dan anggota penguatkuasa sepanjang tempoh operasi itu bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral, di sini, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan terhadap 77 depoh bas di seluruh negara dengan 50 peratus daripadanya sudah diperiksa setakat ini.

"Pemeriksaan bas di depoh ini memberi fokus kepada aspek teknikal kenderaan seperti penggunaan tayar mengikut standard piawaian ditetapkan serta pemeriksaan sistem brek dan lampu perlu berfungsi dalam keadaan baik.

DATUK Lokman Jamaan (kiri) melihat pemeriksaan keadaan tayar bas ekspres pada Program Penguatkuasaan Pra Hari Raya Aidilfitri di Depoh Bas Sani Express Klang Sentral. FOTO FAIZ ANUAR
DATUK Lokman Jamaan (kiri) melihat pemeriksaan keadaan tayar bas ekspres pada Program Penguatkuasaan Pra Hari Raya Aidilfitri di Depoh Bas Sani Express Klang Sentral. FOTO FAIZ ANUAR

"Sekiranya bas gagal dalam pemeriksaan dilakukan, notis larangan penggunaan bas akan dikeluarkan serta merta. Pemeriksaan ini juga bagi memastikan pemilik dan pengusahan bas sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya," katanya.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini, dijangka 14.7 juta kenderaan berada di jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh operasi berkenaan.

"Kita jangka kira-kira dua juta kenderaan berada di jalan raya pada satu-satu masa di seluruh negara.

"Susulan itu, kita akan meningkatkan pemeriksaan bukan sahaja kepada bas atau pengangkutan awam lain tetapi juga merangkumi motosikal serta kenderaan persendirian.

"Ini kerana lebih 60 peratus kes kemalangan direkodkan membabitkan motosikal. Pada masa sama, kita sudah mengenal pasti lokasi kerap kemalangan dan laluan yang sesak dan akan menempatkan anggota di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 4:53 PM