Mahaizura Abd Malik


Hulu Kelang: Perikatan Nasional (PN) menafikan mereka sombong kerana menolak kerjasama dengan Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masa yang ada sekarang dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberikan tumpuan kepada persediaan menghadapi PRU-15.

"Kita bukan sombong…kita bersedia berbincang dengan mana-mana pihak yang boleh menerima pakai dasar dan idealisme PN.

"Tetapi masa tidak berpihak kepada kita kerana pencalonan (hari penamaan) tinggal empat lima hari lagi, jadi tumpuan kita hari ini bagi memastikan PN cukup bersedia menghadapi PRU-15 yang sudah terlalu suntuk dan kita harus tumpu kepada muafakat yang telah diberikan atas nama PN," katanya pada sidang media selepas Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ukay Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Azmin berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, bahawa PN sombong kerana tidak mahu bekerjasama dengan GTA untuk menghadapi PRU-15, 19 November ini.

Dalam pada itu, Azmin berkata, PN akan mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam tempoh sehari dua ini.

"Alhamdulillah, agihan kerusi sudah dimuktamadkan dan pengalaman saya di pihak sana (pembangkang) tidak seharmoni seperti itu.

"Tiada pukul meja…tiada baling kerusi dan perbincangan selesai dengan baik dan semua parti gembira.

"Ini tumpuan kita kerana rakyat di luar sana ingin melihat satu hubungan kerajaan yang kuat, stabil dan bersih yang dapat menjamin masa depan negara dan rakyat," katanya.

Kelmarin Mahathir ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah di Alor Setar, Kedah dilaporkan berkata, beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan 'khianat' Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya bagi membolehkan kerjasama terbabit.

Katanya, pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama, namun usulnya ditolak Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 1:45 PM