BANTUAN kerajaan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia meringankan beban golongan B40. FOTO BERNAMA
BANTUAN kerajaan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia meringankan beban golongan B40. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Baru beberapa bulan PerantiSiswa diberikan secara percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), namun sudah ada menjualnya walaupun dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Mengakui bantuan kerajaan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia meringankan beban golongan B40, rata-rata penuntut IPT berpandangan tindakan menjual semula peranti itu dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran, suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Muhammad Najmuddin Sarani, 23, berkata, beliau antara yang pertama memohon bantuan itu sejak mula dibuka dan sememangnya jelas tertera syarat yang melarang peranti terbabit daripada dijual.

"Namun, apabila ada pelajar yang jual, ini merupakan perbuatan yang tidak berkat. Sekiranya ia dijual dan dibeli, pembeli berkenaan memang akan tahu peranti ini daripada kerajaan kerana perlu isi maklumat diri apabila buka suis peranti itu," katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Muamalat di IPT berkenaan.

Muhammad Najmuddin berkata, pemberian PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE yang dilengkapi beberapa aksesori itu membantu meringankan bebannya yang berasal daripada golongan B40, selain berguna dengan kursus yang sedang diikutinya.

Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Nurlisa Mohd Jamil, 21, turut bersetuju tindakan menjual peranti itu untuk membeli peranti yang lebih canggih perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Bukan mudah mohon PerantiSiswa ini kerana perlu melalui prosedur penapisan yang ketat di peringkat universiti dan kerajaan kerana ada rakan saya dari golongan M40 juga memerlukan peranti, namun tidak berkemampuan dan tidak dapat," katanya.

Selain itu. katanya, peranti diberikan kerajaan tidak kurang hebatnya berbanding jenama lain dan sesuai untuk kegunaan pelajar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun terdapat beberapa alasan penjualan seperti memerlukan wang keperluan di universiti atau peranti itu tidak sesuai dengan kursus diambil, namun tindakan berkenaan tetap tidak wajar.

"Matlamat tidak menghalalkan cara kerana pemberian peranti ini usaha kerajaan dalam memastikan keperluan pelajar belajar dengan baik dan tindakan itu tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya, sekiranya peranti itu tidak sesuai digunakan dengan kursus yang diambil tidak perlu memohon dan boleh memberi peluang kepada pelajar yang lebih memerlukan.

Permohonan PerantiSiswa dibuka sejak April lalu dengan pengagihan Fasa pertama bermula September lalu, manakala Fasa 2 diagihkan bulan ini.

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tegas dikenakan terhadap individu menjual peranti itu.

Setakat ini, terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara, dan pemantauan itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 7:01 AM