Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia terus mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 300,000 permohonon diterima sehingga kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata permohonan itu membabitkan fasa pertama dan kedua.

Katanya, jumlah diterima itu agak besar dan cepat sekali sehingga pihaknya berdepan sedikit masalah bagi memproses permohonan.

"Kita menjangkakan, permohonan dalam masa dua minggu ini dijangka mencecah sehingga angka maksimum.

"Tapisan permohonan juga sedang dibuat kerana ada juga pemohon bukan kalangan B40, namun kita tidak menolak permohonan mereka sebaliknya akan membuat semakan pusingan kedua.

"Ini memandangkan data yang ada tidak semestinya tepat kerana ada ibu bapa mereka yang bercerai selain kehilangan kerja akibat Covid-19 dan sebagainya. Disebabkan itu kita akan membuat semakan dengan dibantu persatuan pelajar dan pihak sekolah," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas, di sini, hari ini.

ANNUAR (kanan) menyerahkan PerantiSiswa kepada pelajar di Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR (kanan) menyerahkan PerantiSiswa kepada pelajar di Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Annuar berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan pengagihan peranti berkenaan menjelang November bagi kedua-dua fasa berkenaan.

"Alhamdulillah setakat ini tidak timbul sebarang masalah atau kerenah berhubung PerantiSiswa Keluarga Malaysia ini dan segala urusan berjalan lancar.

"Ini kerana kita melakukan perolehan tender secara terbuka dan ia berjalan lancar. Malah, pasukan yang dilantik juga membuat sampel dengan pelajar di beberapa universiti bagi memastikan peranti yang dipilih sesuai untuk kegunaan pembelajaran mereka.

"Untuk Kelantan, hari ini adalah agihan pertama dilakukan sebelum disusuli semua Universiti Awam (UA) dan sekolah yang terbabit di kawasan tertentu diberikan. Jadual pengagihan juga sedang dilakukan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi terus tablet berjenama terkenal kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata, pemberian peranti itu sebagai penghargaan, sekali gus diharap menjadi pemangkin untuk penerimanya belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih keputusan cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 1:46 PM