Dr Noraini (dua dari kanan) menyampaikan peranti kepada salah seorang penuntut  ketika di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, hari ini. FOTO IHSAN UMK
Dr Noraini (dua dari kanan) menyampaikan peranti kepada salah seorang penuntut ketika di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, hari ini. FOTO IHSAN UMK
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sejumlah 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini diluluskan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah berkenaan mewakili 71 peratus daripada 20,080 permohonan pelajar dari universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta di negeri Kelantan yang diterima sehingga 26 Oktober lalu.

"Pengagihan PerantiSiswa di IPT kini sedang giat dijalankan bagi permohonan yang sudah diluluskan.

"Pada masa sama, saya juga sudah meminta supaya proses kelulusan dan pengagihan peranti ini dibuat pada kadar segera kerana tidak mahu mahasiswa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan peranti berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada 40 orang pelajar yang mewakili pelajar dari universiti awam dan IPTS Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga Noraini turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan serta Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 bertujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak dan membentuk kesedaran penabungan sebagai jaminan masa depan.

"Program ini membabitkan sumbangan zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih di 12 negeri.

"Sumbangan yang diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime ini membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta," katanya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pemimpin setempat di Kelantan membabitkan 14 kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM140,000 dengan pembabitan 1,400 pelajar.

"Setiap kawasan diperuntukkan RM10,000 dan seramai 100 orang pelajar asnaf di setiap kawasan akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 setiap seorang," katanya.

Sementara itu, Dr Noraini turut menyempurnakan pelancaran Program Keahlian Pra-U@UMK yang adalah program keahlian yang pertama seumpamanya dilaksanakan di perpustakaan universiti awam mahupun swasta di Malaysia.

"Tujuan kad keahlian ini diwujudkan supaya perpustakaan di universiti menjadi pusat sehenti bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan seperti carian bahan rujukan, pelbagai maklumat semasa, penyelidikan serta pakar rujuk dalam pelbagai bidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 12:45 PM