Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
BERNAMA

Kuala Lumpur: Buku Inisiatif Keluarga Malaysia merangkumi kompilasi semua inisiatif kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilancarkan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Pahang, selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri Ahmad Raziz Rashid berkata, buku itu akan dilancarkan oleh Ismail Sabri pada majlis perasmian Jelajah AKM Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur dan Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), pada 29 Okt ini.

"Buku tersebut terbahagi kepada beberapa bahagian utama seperti transformasi politik yang menerangkan kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

"Buku itu juga menceritakan tentang agenda pembangunan negara dan bantuan sosial yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Beliau berkata buku itu akan diedarkan sepanjang Jelajah AKM Pahang serta boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang rasmi Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Raziz berkata Jelajah AKM siri ke-12 itu bertemakan 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara' menekankan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan negara.

Pameran aset dan kehebatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara tarikan utama pada siri AKM Pahang selain Karnival Kerjaya Jamin Kerja.

Kementerian Pertahanan merupakan kementerian peneraju bagi AKM edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 12:44 PM