Rani bersama keluarga melayan tetamu yang hadir meraikan Depavali di rumahnya PPR Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
Rani bersama keluarga melayan tetamu yang hadir meraikan Depavali di rumahnya PPR Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Selepas dua tahun menyambut perayaan Deepavali ketika Covid-19 melanda, sambutan pada tahun ini lebih meriah kerana menerima kunjungan daripada pelbagai kaum.

Keterujaan dan kemeriahan sambutan Deepavali pada tahun ini turut dirasai keluarga Rani Gunasuntari Parasuramam, 46, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini.

Keluarganya melakukan persiapan sejak 5 pagi apabila dia bersama anak perempuannya sudah bangun memasak makanan.

Menurut Rani, seminggu sebelum perayaan dia bersama tiga anaknya sudah mula membuat persiapan menyambut Deepavali.

Katanya, dia dan keluarga sangat teruja untuk meraikan perayaan Deepavali kerana akan menerima kunjungan ramai saudara dan rakan-rakan yang berbilang kaum.

"Pada tahun ini, sambutan agak meriah selepas dua tahun menyambutnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anak-anak pun sangat teruja dapat meraikan bersama rakan-rakan dan saudara.

"Menu wajib bagi keluarga kami setiap kali Deepavali adalah nasi beriani dan tosei yang menjadi juadah kegemaran anak-anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di PPR Gua Musang di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu, namun segalanya dapat diatasi dengan perancangan perbelanjaan yang dibuat lebih awal.

"Tahun ini kita berbelanja mengikut kemampuan keluarga. Walaupun harga barang naik, tetapi perbelanjaan kita mengikut wang tabungan yang ditetapkan.

"Sebelum membuat pembelian, saya senaraikan dulu barangan yang perlu dibeli," katanya.

Anak keduanya, Trisha Munisamy, 17, berkata, dia bersemangat membuat persiapan untuk menyambut Deepavali bersama keluarga.

Katanya, menjadi amalan wajib buat mereka sekeluarga apabila bekerjasama membuat kuih tradisional India seperti maruku dan biskut.

"Kami sekeluarga akan menyiapkan pelita api dan hiasan lantai tradisional, kolam secara bergotong-royong menggunakan beras yang telah diwarnakan menggunakan pewarna khas.

"Kami juga mengamalkan tradisi masyarakat India ketika perayaan seperti mandi minyak, sembahyang dan bermaafan bersama ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:15 PM