ANTARA penerima rumah PPR pada Program Baiti Jannati di PPR Desa Rejang.
ANTARA penerima rumah PPR pada Program Baiti Jannati di PPR Desa Rejang.
Siti Fatimah Hassan dan Asmah Rusman

Kuala Lumpur: “Saya dan isteri tidak boleh bekerja kerana mengalami sakit kronik menyebabkan bayaran sewa rumah tertunggak hingga empat tahun iaitu RM4,618. Saya terharu kerana rumah ini diberi secara percuma kepada kami tanpa perlu membayar sewa bulanan selepas ini,” kata Perumal Sinnapayan, 64.

Perumal antara 10 keluarga miskin terdiri daripada komuniti India yang terpilih menerima rumah percuma menerusi Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan sempena sambutan Deepavali, Rabu ini.

Mereka yang dibantu itu tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan mempunyai masalah sewa tertunggak akibat dihimpit kemiskinan hidup.

Perumal berkata, dia bergantung hidup terhadap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM320 sebulan selain RM200 sebulan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kehidupan yang sukar menyebabkan kami sudah beberapa tahun tidak menyambut perayaan Deepavali. Bantuan kewangan itu digunakan untuk perbelanjaan selain perbelanjaan anak lelaki yang baru saja memulakan pengajian di Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor,” katanya.

Seorang lagi penerima, G Mageswaran, 46, berkata, sambutan Deepavali kali ini menjadi amat bermakna buat dia dan keluarganya selepas menerima rumah baru yang lebih selesa dan siap diubah suai di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang lengkap dengan barangan keperluan rumah serta perabot.

“Selain tidak mampu melihat saya juga mempunyai masalah kesihatan. Oleh itu saya hanya mengambil upah membersihkan rumah jiran, mencuci longkang atau membantu rakan yang menyediakan perkhidmatan pindah rumah. Isteri saya pula bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan bulanan sebanyak RM800 sebulan dan wang itu digunakan untuk menampung keperluan isi rumah dan tiga anak yang bersekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:19 AM