ZAITON Suman, memantau anaknya di PPS SK Durian Tunggal. FOTO NURALIAWATI SABRI.
ZAITON Suman, memantau anaknya di PPS SK Durian Tunggal. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: "Pusat pemindahan sementara (PPS) ini bagaikan rumah kedua kami, setiap kali hujan lebat berterusan pasti saya dan keluarga perlu berpindah," itu kata mangsa banjir dari Kampung Balai, Siti Khadijah Nordin.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, sejak awal tahun hingga kini, sudah 10 kali dia dan keluarga termasuk ibunya terpaksa berpindah apabila kediaman mereka dinaiki air.

Katanya, susulan hujan lebat lewat petang semalam, kediamannya dinaiki air separas pinggang termasuk arus laju dan diarahkan berpindah dengan kadar segera.

"Tipulah tidak penat, hakikatnya sampai satu masa kecewa pun ada.

"Sekarang ini, baju kami anak beranak termasuk toto memang saya letakkan didalam bonet kereta jadi apabila perlu berpindah keluar semuanya sudah tersedia," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Katanya, dia dan keluarga kini sedang bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada November depan.

"Apa yang ditakutkan sekarang adalah banjir pada November dan Disember depan kerana keadaan mungkin lagi teruk berbanding sekarang.

"Langkah jaga-jaga sekarang ini semua buku sekolah anak, saya minta tinggal di sekolah malah baju sekolah pula diletakkan di tempat tinggi," katanya.

Menurutnya, apa yang diharapkan supaya ada jalan penyelesaian segera.

"Kerajaan negeri sudah pun ambil tindakan dengan dalamkan sungai berdekatan tetapi masalah banjir masih tetap berlaku.

"Mungkin kami boleh diberikan penempatan baharu yang mana bayaran bulanan bersesuian dengan kadar kemampuan kami," katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa Zaiton Suman, 55, berkata, dia dan anak lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berpindah keluar kira-kira 7.30 malam selepas air dilaman rumahnya separas pinggang.

"Rumah saya sekarang ini cuma ada kelengkapan asas sahaja, malah pakaian semua diletakkan di atas siling rumah kerana dengan keadaan sekarang tenaga sudah tidak kuat.

"Cuma apa yang perlu difikirkan apabila hendak balik dan perlu bersihkan rumah, namun begitu saya bernasib baik kerana anak saudara banyak membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 4:52 PM