KEADAAN air di salah satu pintu masuk ke pekan Rantau Panjang. FOTO Ihsan Nasran Nasuha
KEADAAN air di salah satu pintu masuk ke pekan Rantau Panjang. FOTO Ihsan Nasran Nasuha
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Dua laluan utama untuk ke pekan Rantau Panjang iaitu Pintu Dua dan Pintu Tiga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), ditutup susulan dinaiki air separas 0.5 sehingga satu meter (m) kira-kira 4 pagi tadi.

Keadaan berkenaan berlaku disebabkan oleh limpahan air Sungai Golok.

Paras sungai itu kini melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.32 m setakat jam 6.30 pagi.

Penduduk, Rogayah Awang, 52, yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan, mengakui terkejut kerana air naik terlalu pantas dan terpaksa mengangkat barangan serta dokumen penting ke tempat selamat.

Katanya, dia tahu akan peningkatan paras Sungai Golok sejak semalam, tetapi tidak menyangka air boleh melimpah sehingga membanjiri beberapa kawasan di pekan itu dengan begitu cepat.

"Saya terjaga kira-kira 2 pagi, apabila perkarangan rumah mula digenangi air separas 0.2 m, namun dengan hanya beberapa jam sahaja ia (paras air) meningkat kepada 0.5 m iaitu pada paras pinggang.

"Jika hujan terus turun selain berlaku peningkatan air Sungai Golok, banjir akan memasuki bahagian dalam rumah dan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

"Bagaimanapun, demi keselamatan kami sekeluarga mula berpindah untuk tumpang berteduh di rumah saudara yang selamat daripada banjir selain mengalihkan motosikal dan kereta daripada ditenggelami air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, lima sungai di negeri Kelantan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Jeli, Sungai Lebir serta Sungai di Kuala Krai, Sungai Kampung Temangan di Machang, Sungai Jenob, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Jainal@Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan penduduk yang berdekatan dengan lokasi banjir supaya segera berpindah ke tempat selamat dengan kadar segera.

Menurutnya, pihak JBPM sentiasa bersedia memberi bantuan dan khidmat dalam menghadapi banjir dan rondaan berkala dilakukan dengan lebih kerap bagi memantau keadaan semasa di pekan serta kawasan rendah yang dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 7:44 AM