PENULIS dan pelukis cilik dari SSeMKL bersama guru mereka, Ketua Bidang Seni Visual Yusnirah Mohamed Yusof (empat kiri) dan Teh Nadira (tiga kanan) di Pesta Buku Frankfurt. FOTO Nazmi Yaakub
PENULIS dan pelukis cilik dari SSeMKL bersama guru mereka, Ketua Bidang Seni Visual Yusnirah Mohamed Yusof (empat kiri) dan Teh Nadira (tiga kanan) di Pesta Buku Frankfurt. FOTO Nazmi Yaakub
Nazmi Yaakub


Frankfurt: Penampilan sulung pelukis dan penulis cilik dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) bukan saja memukau pengunjung ke Pavilion Malaysia di Pesta Buku Frankfurt di sini, bahkan memikat penerbit dari Sepanyol, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lima buku dan lukisan potret pelajar SSeMKL berusia antara 13 hingga 16 tahun itu menarik minat syarikat penerbitan Editorial Portavoz, Sepanyol dan Uitgeverij Wilde Haren (Belanda) serta PanWorld Education berpangkalan di Dubai.

Pengarah Penerbitan Uitgeverij Wilde Haren, Lou Lou berkata, pihaknya tidak pernah terfikir untuk mengupah pelajar sekolah menghasilkan ilustrasi projek penerbitan.

"Disebabkan syarikat kecil, selalunya kami sangat selektif memilih projek buku akan diterbitkan hingga ia perlu istimewa.

"Pelajar ini sangat berbakat dan istimewa. Kami mahu memberikan tunjuk ajar serta membimbing mereka untuk menghasilkan karya memenuhi standard ilustrasi antarabangsa," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Editorial Portavoz, Deborah L Vila, pula memuji ilustrasi potret disifatkan mengagumkan terutama Sufi Sufea Md Fadhil, 15, dan Haniesa Mohd Asri, 15.

"Kami ingin mendapatkan perkhidmatan penghasilan ilustrasi pelajar bagi projek penerbitan buku syarikat Editorial Portavoz," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jurulatih Seni Visual SSeMKL, Teh Nadira Hamdan berkata, kelima-lima pelajar berkenaan mengambil masa dua bulan untuk menghasilkan buku masing-masing.

"Pelajar terbabit dipilih berdasarkan kualiti karya dan masa digunakan untuk menghasilkan karya kerana proses dua bulan itu sebenarnya sangat singkat.

"Mereka perlu ada keberanian dan keyakinan diri, manakala latihan turut diberikan supaya dapat tampil di pesta buku ini seperti satu kumpulan seni yang erat," katanya.

Antara penulis cilik dan pelukis ilustrasi YET KL itu ialah Ainur Safeeya Uzma Erfieza, 13, yang turut menjadi peserta termuda.

Ainur Safeeya Uzma berkongsi kegembiraan apabila orang menghargai karyanya dihasilkan dengan titik peluhnya sendiri.

"Ia menyemarakkan semangat kerana saya memang mahu menyambung buku 'Reminiscing the Old Days' dengan siri baharu, apatah lagi saya pun bercita-cita menjadi penulis dan pelukis ilustrasi," katanya.

Peserta lain ialah Nur Balqis Faqihah Norlihakie dengan buku 'My Hero! The Time Traveler,' Sarah Hanina Nadhrah Ahmad Patria ('Valentine is a Tenacious Girl'); Alisha Nabeeha Azhar ('My Teacher') dan Batresya Nortajuddin ('My Father's Culture').

Kumpulan itu turut menghasilkan potret yang dilukis sepanjang pesta buku terbesar dan tertua di dunia yang kemudiannya dihadiahkan kepada Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos dalam pertemuan antara beliau dengan wakil delegasi Malaysia, semalam.

Selain buku kanak-kanak dan lukisan potret, kumpulan pelajar SSeMKL turut menampilkan persembahan tarian tradisional seperti inang, joget dan zapin yang menarik perhatian ramai pengunjung untuk hadir ke Pavilion Malaysia.

Kumpulan pelajar itu dibimbing melalui program Young Emerging Talent (YET) KL hasil kerjasama dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Delegasi Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt diketuai Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron dan disertai penerbit institusi kerajaan, pelbagai penerbit buku besar, persendirian serta swaterbit.

Selain jualan hak cipta kepada negara luar, penerbit tanah air juga berpeluang membeli hak cipta karya dan buku merentas genre dihasilkan pengarang antarabangsa dalam kalangan sarjana, negarawan, sasterawan dan tokoh pelbagai bidang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 4:24 PM