LAPORAN portal Harian Metro 18 Januari lalu.
LAPORAN portal Harian Metro 18 Januari lalu.
Siti A’isyah Sukaimi


PEROLEHAN penerbitan buku teks Program Dwibahasa (DLP) bagi 2019 dilaksanakan menerusi dua kaedah iaitu secara rundingan terus dan tender terbuka.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di Putrajaya hari ini memaklumkan, penerbitan secara rundingan terus untuk dua judul buku teks DLP iaitu subjek Science Year 3 dan Mathematics Year 3 serta buku cetakan semula (266,110 naskhah) diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, ia selaras dengan keputusan Majlis Tindakan Negara 1974 iaitu DBP dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan buku teks sekolah rendah.

“Penerbitan untuk buku DLP sekolah menengah iaitu Science Form 3 dan Mathematics Year 3 membabitkan 108,680 naskhah diuruskan penerbitannya secara tender terbuka oleh kementerian.

“Oleh itu, tidak benar sama sekali anggapan semua penerbitan buku teks DLP terutama yang membabitkan penerbit swasta dilaksanakan secara rundingan terus,” katanya.

Katanya, bagi tujuan tender terbuka untuk buku Science Form 3 dan Mathematics Form 3, iklan sudah dikeluarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa.

Menurutnya, proses pemilihan tender sudah dijalankan secara terus dengan pembabitan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penilaian Bahan, Jawatankuasa Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Jawatankuasa Penilaian Harga yang ditawarkan oleh syarikat yang mendapat tender.

Mengulas lanjut, katanya, semua markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu akan dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan dan anggotanya terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan tiga Setiausaha Bahagian dalam Kementerian Pendidikan.

Katanya, semua proses tender berkenaan dilaksanakan dengan telus dan berintegriti.

“Kementerian juga berharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar berkenaan proses penerbitan buku teks DLP.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan juga sedang mengambil semua langkah yang dirasakan wajar dan perlu bagi membekalkan buku teks DLP sekolah menengah secepat mungkin,” katanya.

Kementerian Kewangan pada 13 Januari lalu memaklumkan, kelulusan khas diberikan untuk permohonan melaksanakan perolehan buku teks Program DLP secara rundingan terus.

Bagaimanapun, pada 17 Januari lalu, Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia melahirkan rasa kesal dengan kelewatan menyiapkan buku teks Program DLP Sains dan Matematik untuk pelajar tingkatan tiga.

Presidennya, Muhammed Farhan Basheer dipetik berkata, sehingga kini buku berkenaan belum ada di sekolah, sedangkan pelajar sudah memasuki persekolahan sejak Januari lagi.

Beliau dipetik berkata, Kementerian Kewangan perlu membuat tawaran secara tender bukannya secara rundingan terus bagi mengelak daripada memberi projek hanya kepada kroni atau individu tidak layak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 4:06 PM