Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Tiada satu pun gabungan parti politik negara dilihat benar-benar yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, hasil analisa dan pemerhatiannya mendapati kesemua parti sebenarnya mengambil sikap berhati-hati dan tidak yakin mengenai nasib parti mereka pada pilihan raya itu nanti.

"Pada saya semuanya (parti) takut dan tidak tahu kemungkinan bakal berlaku. Ia berikutan keadaan politik negara yang berada dalam kecelaruan malah rakyat juga menjadi celaru dan keliru.

"Keadaan sekarang ini, setiap satu parti pun tidak begitu pasti apa hasilnya (PRU-15) dan bagaimana rakyat akan buat pilihan nanti.

"Semua parti juga saya lihat masih ambil sikap tunggu dan lihat. Selepas keputusan PRU-15 barulah mereka akan mengorak langkah masing-masing, " katanya.

Beliau berkata demikian Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua MUBARAK Johor, Datuk Abdullah Md Ali dan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Dalam pada itu, Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO berkata, konsep khemah besar yang disarankan segelintir pimpinan politik masih tidak diterima hampir kesemua gabungan politik negara buat masa ini.

Katanya, konsep itu agak kontroversi dengan semua parti dilihat enggan pada idea perkongsian kuasa dan pembahagian kerusi yang dimiliki.

"Konsep khemah besar setakat ini tidak diterima oleh semua dan masih kontroversi.

"Oleh itu, hasil PRU-15 ini sangat menarik untuk kita lihat namun saya jangkakan lebih banyak kesan negatif akan timbul daripada tiada satu pun parti yang mampu menjadi dominan," katanya.

MUSA (kiri) ketika Program Bicara Tokoh pada Majlis Silaturahim MUBARAK Negeri Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUSA (kiri) ketika Program Bicara Tokoh pada Majlis Silaturahim MUBARAK Negeri Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 12:23 PM