Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai, Suhaimi Salleh dilantik menjadi Ketua Koordinator Parti Warisan Sabah (WARISAN) Johor sekali gus akan mengemudi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Suhaimi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup juga akan menyelaras gerak kerja PRN Johor nanti.

"Dua Koordinator WARISAN Johor, iaitu bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri S Sunther, yang juga anak bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dan bekas Naib Ketua Wanita Gerakan dan bekas Ketua Wanita Gerakan Johor Wong Siew Poh akan membantu Suhaimi pada PRN Johor.

SUHAIMI Salleh. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUHAIMI Salleh. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Bagi membantu memperkukuhkan gerak kerja WARISAN Johor, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga bekas Ketua Bahagian BERSATU Tebrau menyatakan mahu membantu kita," katanya pada sidang media selepas melancarkan WARISAN Johor, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden WARISAN Datuk Junz Wong dan Ketua Wira WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman.

Malam tadi, WARISAN mengesahkan akan bertanding pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Mohd Shafie berkata, keputusan berkenaan adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi selain langkah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengulas mengenai latar belakang WARISAN sebagai parti dari Sabah yang memperjuangkan Sabah untuk rakyat Sabah, Mohd Shafie berkata, dalam negara demokrasi, parti politik bebas untuk bertanding di mana-mana sahaja di negara ini.

Beliau berkata, WARISAN memperjuangkan perpaduan semua rakyat bagi membentuk sebuah negara bangsa yang kukuh serta stabil, yang tidak hanya nampak harmoni apabila menjelang pilihan raya tiba bagi meraih undi semata-mata.

"PBS bertanding di Pulau Pinang. UPKO pula bertanding di Perak. Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, manakala Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok, mereka berdua yang tidak dikenali di Semenanjung pun bertanding.

"Saya pemimpin nasional yang pernah berkhidmat dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mengapa WARISAN tak boleh pula bertanding pada PRN Johor atau PRU-15 nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 10:47 AM