JIMMY Puah. FOTO arkib NSTP
JIMMY Puah. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Kulai: PKR Johor membayangkan satu jajaran politik baharu akan ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia berikutan perkembangan terbaru landskap politik negara yang memberi beberapa isyarat sejak kebelakangan ini.

Katanya, ia termasuklah rentetan insiden politik membabitkan kerajaan Perak akhir tahun lalu sehinggalah keadaan terkini politik negara.

"Secara amnya, akan ada jajaran atau gabungan politik baharu menjelang PRU-15 nanti.

"Jika dulu, Barisan Nasional (BN) lawan Pakatan Harapan (PH), tapi PRU-15 kali ini nampaknya akan berubah.

"PKR Johor tidak boleh kata kita tolak mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan PH Johor pada masa akan datang berikutan politik di Malaysia adalah penuh dinamik.

"Selagi asas perjuangan adalah sama, kita boleh lihat cara bagaimana hendak kerjasama dalam satu jajaran dan gabungan.

"Namun jajaran atau gabungan baharu itu nanti akan nampak lebih jelas menjelang PRU-15 atau pun selepas saja pilihan raya selesai nanti," katanya ketika meninjau jalan raya rosak di Taman Tropika, di sini, hari ini.

Jimmy Puah, berkata, sehingga kini PH hanya dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) setakat ini.

"Namun PKR Johor akan akur dengan apa jua ketetapan kepimpinan pusat.

"PKR Johor juga masih belum menerima arahan khas dari kepimpinan pusat membabitkan jajaran atau gabungan baharu ini.

"Buat masa ini, fokus PKR dan PH Johor adalah bagi mengukuhkan jentera PRU-15," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 3:01 PM