Mohamed Farid Noh

Pagoh: Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika ia diadakan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai perkara itu.

"Ya memang sudah ada perbincangan untuk menentukan masa yang sesuai (untuk adakan PRU-15).

"Perdana Menteri sudah tentu akan ikut Perlembagaan terutama membawa perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya pasti Yang di-Pertuan Agong akan ambil pertimbangan semasa terutama kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dalam menstabilkan politik.

"Apa pun PRU-15 terletak pada budi bicara Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Lenga di sini, hari ini.

Isnin lalu, UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15 disegerakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, parti itu berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

MUHYIDDIN ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan BERSATU Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Lenga, Pagoh. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan BERSATU Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Lenga, Pagoh. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan PRU-15 diadakan dengan sentiasa memperkukuhkan jentera parti.

"Selepas PRN Melaka contohnya, kita buat bedah siasat membaiki kelemahan jentera dan mempersiapkan ahli supaya lebih kuat dan bersedia," katanya.

Mengulas mengenai Pengerusi PN Melaka serta Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU yang baharu, Muhyiddin berkata, ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, beliau sudah dimaklumkan berhubung peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah terhormat.

Katanya, ia juga bagi membolehkan rombakan BPN dapat dibuat susulan pasca PRN Melaka.

"Datuk Rafiq telah maklumkan dan terbukti semalam benar beliau meletakkan jawatan berundur dan ini (sebenarnya) satu langkah terhormat iaitu memberi laluan supaya kita (parti) dapat buat rombakan Badan Pimpinan Negeri itu.

"Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal menggantikan ataupun rombakan-rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:51 PM