Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Penderitaan Nur Qalesya Damia Mohd Rashid, 11, atau Damia iaitu pesakit kelenjar sehingga lidah membengkak mendapat perhatian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

MAIJ tampil memberi sumbangan zakat RM5,000 secara 'one off' dan akan menyalurkan lagi sumbangan bagi menampung perbelanjaan perubatan Damia pada masa depan mengikut keperluan dan kesesuaian.

Ibu Damia, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 37, bersyukur dengan bantuan itu dan akan digunakan bagi tujuan membiayai Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) anaknya itu.

"Terima kasih kepada semua pembayar zakat, sumbangan RM5,000 ini akan digunakan bagi tujuan membiayai MRI Damia.

"Damia sepatutnya menjalani MRI di sebuah hospital pakar pada 4 Oktober lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan kekurangan dana. Syukur dengan bantuan ini saya akan hubungi hospital untuk dapatkan tarikh sesuai.

"Alhamdulillah kini bengkak lidah Damia sudah kurang. Dia sudah mula bersekolah dan setakat ini dia boleh makan dan berbual seperti sebelum ini, terima kasih kepada semua yang membantu selama ini," katanya ketika ditemui.

MOHD Shafie (dua kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada bapa Damia, Mohd Rashid di Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Shafie (dua kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada bapa Damia, Mohd Rashid di Pusat Islam Iskandar Johor. FOTO Mary Victoria Dass

Sumbangan zakat berkenaan disampaikan oleh Penolong Pengarah Pungutan Zakat MAIJ, Mohd Shafie Mustapha di Pusat Islam Iskandar Johor di Jalan Masjid Abu Bakar di sini hari ini.

Hadir sama, Wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak.

Pada 15 September lalu, akhbar ini melaporkan kisah penderitaan Damia yang terpaksa berlapar dan hanya minum air dan susu kerana keadaan lidah yang semakin membengkak dan tersembul keluar.

Damia yang adalah pesakit kelenjar sehingga lidah membengkak dicadangkan supaya menjalani MRI bagi mengenal pasti rawatan sesuai pada masa depan.

Keluarga Damia berdepan kesulitan bagi membiaya kos rawatan memandangkan hanya bergantung kepada pendapatan ahli keluarga, Mohd Rashid Jamil, 37, hasil menjual air dalam balang di pasar malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 4:38 PM