Damia bakal menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) di sebuah hospital pakar di bandar raya ini pada 4 Oktober depan. FOTO Mary Victoria Dass
Damia bakal menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) di sebuah hospital pakar di bandar raya ini pada 4 Oktober depan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kanak-kanak yang mempunyai penyakit kelenjar sehingga lidah membengkak, Nur Qalesya Damia Mohd Rashid, 11, akan menjalani Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) 4 Oktober ini.

Ibunya, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 37, berkata dia bersyukur apabila anak sulungnya itu akan menjalani ujian berkenaan di sebuah hospital pakar di bandar raya ini.

Menurutnya, tujuan MRI dijalankan adalah bagi memudahkan doktor membuat penilaian berkaitan keadaan terkini penyakit kelenjar dialaminya.

"Ujian itu perlu untuk doktor mengetahui keadaannya kesihatannya dengan terperinci dan menentukan jenis rawatan seterusnya termasuk melakukan pembedahan.

"Kami berharap Allah memberi kekuatan kepada Damia bagi menjalani semua rawatan secara berperingkat supaya penyakit kelenjar dialaminya sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti insan normal," katanya.

Pada 15 September lalu, akhbar ini melaporkan kisah penderitaan Damia yang terpaksa berlapar dan hanya minum air dan susu kerana keadaan lidah yang semakin membengkak dan tersembul keluar.

Setiap kali mengalami permasalahan berkenaan, anak sulung dari tiga beradik itu tidak dapat makan malah juga mengalami kesulitan untuk bertutur.

Keadaan itu juga mengakibatkan Damia tidak dapat bersekolah dan kerap bercuti hingga dikhuatiri keciciran dalam pelajaran.

Damia mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian leher pada usia dua tahun.

#kw Damia, kelenjar, lidah, bengkak, MRI, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 1:50 PM