Mohd Amin Jalil


Seremban: Barisan Nasional (BN) mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN mesti mencapai atau melepasi 112 kerusi untuk memastikan gabungan itu dapat menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 nanti.

"Setakat kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

"Itu sasaran kita. Jadi kita kalau boleh menang banyak lebih baik. Dulu (PRU-14), kita banyak kalah tipis dan kepemimpinan di kawasan berkenaan akan beri tumpuan terhadap kerusi-kerusi ini.

"Ada banyak kita kalah tipis kerana isu-isu tempatan dan ini perlu diselesaikan segera supaya tidak mengulangi lagi kesilapan seperti yang berlaku pada PRU14," katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, di sini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau berkata, BN akan melaksanakan kajian sikap terhadap pengundi menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Kajian sikap yang kita buat sebelum ini perlu diperkemaskan kerana sikap pengundi ini berubah-ubah mengikut keadaan dan isu-isu semasa.

"Jika boleh buat huraian sebelum tarikh penamaan calon dan sekali lagi selepas penamaan calon kerana selepas itu ada gegaran-gegaran yang perlu diberikan perhatian, dan ia penting supaya tidak jauh dari sasaran," katanya.

MOHAMAD Hasan (tengah) pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau hari ini. FOTO Bernama.
MOHAMAD Hasan (tengah) pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau hari ini. FOTO Bernama.

Sementara itu, katanya, pembahagian kerusi bagi PRU-15 dalam kalangan komponen BN setakat ini belum dimuktamadkan.

"(Kerusi) parti-parti komponen kita belum putuskan, walaupun kita sudah berbincang dan pihak sekretariat akan berjumpa dengan kepemimpinan gabungan MCA, MIC dan GRS, untuk pastikan pembahagian kerusi dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 3:33 PM