Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bersikap terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, ramai pemimpin tempatan yang menawarkan kerusi kepadanya untuk bertanding namun yang membuat keputusan adalah pucuk pimpinan parti.

"Saya orang politik, bila diminta pergi ke mana-mana, saya pergi. Tidak kisah di mana-mana pun.

"Banyak kerusi yang ditawarkan kepada saya, namun yang menawarkan adalah pemimpin tempatan. Yang membuat keputusan nanti adalah pucuk pimpinan parti.

"Negeri Sembilan atau Lembah Klang, saya terbuka," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir Di Kawasan Utama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU-15.

Khairy berkata, ia berikutan beliau diminta memberikan laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhasrat bertanding di kerusi berkenaan.

Sementara itu, ditanya persiapan parti bagi menghadapi PRU-15, Khairy berkata, beliau serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

"Saya difahamkan petang ini ada mesyuarat Biro Politik Umno dan semestinya agenda mesyuarat adalah persiapan dan pemilihan calon serta isu-isu lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:26 PM