ANTARA warga asing yang ditahan  dalam Op Bersepadu JIM Selangor di sebuah gudang pengasingan barang  syarikat penghantaran di Seksyen 22, Shah Alam.
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Op Bersepadu JIM Selangor di sebuah gudang pengasingan barang syarikat penghantaran di Seksyen 22, Shah Alam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Shah Alam: Bertempiaran lari dan bersembunyi di atas siling, di dalam tandas serta dalam longgokan barang.

Itu situasi warga asing pada serbuan Op Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di gudang pengasingan barang sebuah syarikat penghantaran di Seksyen 22 di sini, tengah malam kelmarin.

Seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an berkata, dia baru sahaja beberapa bulan bekerja di gudang berkenaan dengan gaji lebih RM2,000 sebulan.

"Dalam seminggu, saya kerja lima ke enam hari dan mengasingkan kira-kira 600 hingga 1,000 bungkusan dalam tempoh 12 jam sehari.

"Untuk tugas itu, saya dapat gaji lebih RM2,000 sebulan," katanya ditemui pada operasi itu.

Wanita terbabit antara 501 warga asing yang ditahan pada operasi yang dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran (JPN).

Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Selangor Tarmizi Talib Ali berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam sebelum pihaknya menjalankan risikan.

Katanya, 614 pekerja di gudang itu terdiri daripada 113 warga tempatan dan 501 warga asing diperiksa.

"Warga asing yang ditahan berusia 15 hingga 52 tahun, mereka membabitkan warga India, Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka.

"Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah," katanya ditemui di lokasi serbuan.

Tarmizi berkata, premis itu tidak pernah diserbu sebelum ini dan pihaknya akan merekodkan keterangan pengurusan syarikat penghantaran untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:15 AM