ANGGOTA JIM memeriksa kedai runcit yang menggaji pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA JIM memeriksa kedai runcit yang menggaji pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Khairul Najib Asarulah Khan


“SAYA mana tau maa....Semua bos kasi ‘settle’,” kata seorang penyelia kedai runcit di Jalan Kuchai Maju 6, Kuala Lumpur, yang menggunakan warga asing untuk bekerja.

Lelaki berusia 30-an itu mendakwa dia tidak tahu dua rakan sekerjanya menyalahgunakan pas sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, semua pekerja warga asing diuruskan majikan yang kini berada di China.

“Saya pun tak (tidak) pernah tanya mereka (warga asing), yang saya tahu tugas dia orang sama seperti saya menguruskan kedai.

“Selebihnya bos uruskan,” katanya ketika ditemui semasa operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Jalan Kuchai Lama, Jalan Klang Lama, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Jejaka 2 Taman Maluri dan Taman Desa, Kuala Lumpur, hari ini.

Sembilan premis diperiksa dalam operasi membabitkan 18 penguat kuasa JIM Putrajaya bermula 1 tengah hari hingga 5.30 petang.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya melakukan risikan selama tiga hari selepas mendapat maklumat awam sebelum serbuan dijalankan.

“Seramai 44 individu berusia 25 hingga 45 tahun diperiksa dan 20 orang daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara tanpa dokumen sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Tangkapan tertinggi adalah warga China iaitu sembilan orang diikuti Myanmar (8) dan Bangladesh (3),” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mereka mendakwa baru bekerja di antara tiga ke lima bulan dengan gaji RM2,000 ke RM4,000 sebulan.

Katanya, mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 9:29 PM