LOKASI kejadian lif terhempas daripada tingkat 8 kondominium di Brickfields. FOTO Aswadi Alias
LOKASI kejadian lif terhempas daripada tingkat 8 kondominium di Brickfields. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penduduk menyifatkan insiden lif terhempas daripada tingkat lapan di kondominium mereka di Brickfields di sini, sebagai mimpi ngeri.

Seorang penduduk kondominium itu yang enggan dikenali berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak bangunan berkenaan didiami sekitar 1970-an.

"Kami (penduduk) tidak pernah gagal membayar wang penyelenggaraan bulanan. Namun apabila berlaku kerosakan pada sistem lif ini, ia ibarat ada kegagalan semasa pemeriksaan lif dilakukan.

"Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat melaksanakan pemeriksaan dengan lebih terperinci bagi mengelak kejadian ini berulang," katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, sistem lif itu pernah mengalami masalah seperti tersangkut pada waktu tertentu, namun kejadian lif terhempas adalah sesuatu yang mengejutkan bagi penduduk.

"Tidak nafikan, memang pernah berlaku masalah lif tersangkut tapi kejadian itu amat jarang berlaku," katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, beberapa pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Kementerian Sumber Manusia melakukan pemeriksaan pada lif berkenaan.

Difahamkan, pemeriksaan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian lif itu terhempas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, dua individu patah kaki manakala empat selamat pada kejadian terbabit sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:33 PM