LOKASI lif terhempas di Blok 28 Flat Taman Batu Permai, Jinjang, Kuala Lumpur, hari ini.
LOKASI lif terhempas di Blok 28 Flat Taman Batu Permai, Jinjang, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga daripada lima penduduk cedera selepas lif dinaiki terhempas dalam kejadian di Blok 28 Flat Taman Batu Permai, Jinjang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dua kanak-kanak yang turut berada dalam lif sama tidak cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, anggota Balai Polis Jinjang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 2 petang tadi.

"Berdasarkan laporan awal, semua mangsa masuk ke lif berkenaan dari tingkat lima sebelum secara tiba-tiba ia terhempas, namun secara perlahan sehingga ke aras bawah.

"Kami dimaklumkan oleh orang awam bahawa ada lima individu terperangkap di dalam lif berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pintu lif itu dapat dibuka dan semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh orang awam.

"Tiga mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan iaitu bengkak kaki dan terseliuh, manakala dua mangsa kanak-kanak tidak cedera.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan. Pekerja syarikat yang menyelenggara lif berkenaan berada di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Katanya, kejadian itu adalah insiden pertama berlaku di lokasi berkenaan.

"Sebelum ini, lif itu diselenggara mengikut jadual. Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP) Wilayah Persekutan Kuala Lumpur juga tampil untuk siasatan sebelum syarikat penyelenggaraan lif itu membaikinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:05 PM