MOHD Riduan menunjukkan kesan patah pada paha kiri  Mohd Haziq.
MOHD Riduan menunjukkan kesan patah pada paha kiri Mohd Haziq.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: “Sehingga hari ini Mohd Haziq masih gementar setiap kali menaiki lif dan pada waktu malam dia juga kerap mengigau.

“Kejadian lif terhempas itu meninggalkan kesan mendalam kepada Mohd Haziq dan kami sekeluarga berdoa semoga emosi serta semangatnya pulih seperti biasa,” kata Mohd Riduan Norsani, 34.

Pemandu di sebuah agensi kerajaan itu bersama anak sulungnya, Mohd Haziq Zaqwan, 10, adalah antara sembilan mangsa kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, 2 Ogos lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, empat mangsa termasuk Mohd Haziq dan Mohd Riduan cedera di bahagian kaki apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.

Difahamkan, ketika kejadian, penduduk baru pulang daripada solat Jumaat dan menaiki lif untuk ke tingkat atas.

Bercerita mengenai kejadian itu, Mohd Riduan berkata, selepas seorang penduduk keluar (dari lif) di tingkat lima, lif seakan-akan terhenjut namun dia tidak menjangka perkara buruk akan berlaku kerana ia sudah kerap rosak sebelum ini.

“Ia meluncur dengan pantas iaitu sekitar lima saat saja lif sudah berada di aras paling bawah dan saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk melindungi Mohd Haziq.

“Saya hanya tersedar selepas terduduk dan berasa sakit di bahagian betis kanan manakala Mohd Haziq ketika itu berada atas badan sambil mengerang kesakitan.

“Kami terperangkap dalam kesakitan hampir 15 minit kerana kunci lif berada dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pintu lif juga tidak dapat dibuka sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.

LAPORAN Harian Metro, 3 Ogos lalu.
LAPORAN Harian Metro, 3 Ogos lalu.

Insiden itu menyebabkan paha kiri Mohd Haziq patah manakala Mohd Riduan pula patah di bahagian tulang betis kanan.

Mohd Riduan diberikan cuti sakit selama tiga bulan manakala Mohd Haziq yang baharu selesai menjalani pembedahan memasukkan besi minggu lalu terpaksa berehat enam bulan.

Kata Mohd Riduan, dia sekeluarga menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

“Kami sudah melantik seorang peguam untuk meneliti kejadian berkenaan, jika ada unsur kecuaian atau pengabaian keselamatan, tindakan saman akan dilakukan.

“Ia bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haziq mengakui dia masih takut untuk menaiki lif dan trauma dengan apa yang berlaku.

Kata murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai itu lagi, dia kini terpaksa menggunakan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak dan tidak dapat bersekolah seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:50 AM