SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah ketika berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama, Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah ketika berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama, Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan jawatankuasa fatwa memastikan supaya fatwa dikeluarkan diterima secara positif dengan hati yang terbuka, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan mendekatkan mereka dengan Penciptanya serta tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan.

Baginda bertitah, jawatankuasa fatwa juga perlu memberikan ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu baharu yang belum ada duluan.

Titah baginda, ia demi menjamin fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dunia kini yang bertambah kompleks tentunya menghampar lebih banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

"Memandang ke hadapan, institusi mufti memerlukan perekayasaan kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa, demi menjamin institusi mufti kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa.

"Dalam proses mengeluarkan fatwa amatlah penting untuk diberikan perhatian kepada lapan komponen," titah baginda ketika merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, penggubalan fatwa juga perlu mengambil ingatan bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, memiliki daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.

Baginda bertitah, ia juga perlu mengambil kira kemajuan teknologi komunikasi mengubah peranan, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden.

"Dalam era Internet, telah muncul banyak laman sesawang mengandungi pelbagai fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam kalangan ummah untuk mendapatkan fatwa.

"Kelima, urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa.

Mekanisme penghebahan dan penerangan perlu dilaksanakan melalui pelan komunikasi yang berkesan agar sesuatu fatwa dapat difahami, diterima, dihargai dan dihayati.

"Keenam, sensitif terhadap realiti persekitaran masyarakat, persekitaran negara dan persekitaran dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan ideologi politik, agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan

kontroversi hingga berpotensi mencetuskan konflik, persengketaan dan persepsi negatif terhadap Islam," titah baginda.

Baginda bertitah, penggubal fatwa juga perlu bersikap tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali daripada sebarang kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak bersubahat dengan sebarang usaha yang membolehkan matlamat menghalalkan cara, meskipun jika diarahkan oleh mana-mana pihak yang berkuasa sekalipun.

Titah baginda, penggubal fatwa juga perlu mempunyai kebijaksanaan dan hikmah melakukan perimbangan ketika menimbangkan sesuatu arahan atau permintaan agar akauntabiliti utama terhadap Allah SWT dan kepentingan ummah tidak dipinggirkan, demi menjamin kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat dilaksanakan.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tiada seorang pun yang berupaya menguasai semua disiplin pengajian dan memiliki pelbagai pengetahuan dalam dunia masa kini yang semakin kompleks serta tidak ada individu boleh menganggap dirinya serba tahu.

Titah baginda, proses konsultasi amat perlu diamalkan sebelum sesuatu fatwa yang sahih dapat dikeluarkan, justeru majoriti ulama berpendirian, ijtihad hendaklah dilakukan secara kolektif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 3:10 PM