SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO Bernama
SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO Bernama
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar dulu melancarkan buku bertajuk Sikhs in Malaysia: A Comprehensive History yang tulis Dr Ranjit Singh Malhi, di ibu negara, hari ini.

Baginda bertitah, komuniti Sikh banyak menyumbang kepada pembangunan negara bermula dari zaman kolonial British hingga sekarang walaupun populasi mereka kecil berbanding kaum lain di Malaysia.

"Hari ini, komuniti Sikh paling ramai di Perak selain Kuala Lumpur dan Selangor. Mereka yang sebelum ini cemerlang dalam sektor keselamatan sudah melangkaui bidang lain.

"Mereka membawa kualiti yang sama ketika berkhidmat di bidang keselamatan dan ketenteraan di zaman British ke bidang lain iaitu sifat dedikasi, disiplin, dan tanggungjawab yang mendorong kejayaan mereka," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, komuniti Sikh mempunyai karekteristik yang membentuk kejayaan mereka iaitu kemampuan menyesuaikan diri, patriotisme, komitmen terhadap pendidikan, kerja keras dan berjimat cermat, dan menghormati tradisi.

"Bermula dengan sejarah awal menyertai pasukan keselamatan, mereka kini menjadi warga penting dalam kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia," titah baginda.

Baginda bertitah, buku tulisan Dr Ranjit membantu menonjolkan sumbangan besar masyarakat Sikh kepada pembangunan negara dengan perincian menarik daripada pelbagai aspek sejarah.

"Dr Ranjit, dalam tulisan beliau berjaya mendokumentasikan contoh dan kisah yang membuktikan semangat kewarganegaraan dan kesetiaan masyarakat Sikh, menjunjung prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara," titah baginda.

1

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 3:36 PM