FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai cuba menyogok pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA), sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang cuba membawa keluar barang-barang kawalan ke Filipina.

Suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau ketika hadir memberi keterangan kira-kira jam 5.40 petang, semalam.

Menurut sumber, suspek warga tempatan itu, dipercayai memberi rasuah berjumlah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Katanya, tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin pada hari sama.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu adalah kerjasama antara PGA dan SPRM Negeri Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menawar atau memberi sebarang sogokan kepada penjawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia adalah satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.

"Penjawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya ada sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 12:19 PM