FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiga lelaki termasuk seorang penguat kuasa ditahan selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah RM12,000 bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Penahanan tiga suspek itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Sumber berkata, suspek berusia 35 tahun yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki berusia antara 40 hingga lewat 50-an yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, mereka ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira 6 petang.

Menurutnya, warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 6:33 PM