FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


PERSATUAN Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan membeli ikan untuk dihantar ke negeri mengalami masalah bekalan bagi menangani lambakan ikan yang berlaku di negeri utara khususnya Kedah.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, setakat ini ikan di Kuala Muda dijual murah sehingga mencecah 50 sen sekilogram manakala di Kuala Kedah pula dijual sehingga RM1 sekilo bergantung pada saiz, sejak kelmarin.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu memberi rezeki kepada nelayan di tiga negeri utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang disebabkan fenomena lambakan ikan hanya berlaku sekitar 20 tahun lalu.

“Setiap hari hasil pendaratan ikan di Kedah khususnya mencecah lebih 100 tan sehari, malah kami percaya jumlah tangkapan lebih daripada itu setiap hari.

“Nelayan di Kedah berjumlah 10,000 orang dan setiap bot mampu membawa hasil sekurang-kurangnya satu tan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hamid berkata, disebabkan lambakan ikan yang berlaku ketika ini, sebahagian bekalan disimpan untuk sejuk beku bagi menghadapi persediaan ketika peralihan musim akan datang.

Beliau berkata, penurunan harga ikan kembung berlaku sejak dua bulan lalu dan dijangka berakhir bergantung pada cuaca dan hasil tangkapan ikan.

Sementara itu, tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Alor Setar, mendapati harga ikan kembung dijual antara RM2 sekilogram dan RM10 bagi empat kilogram.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata, sejak dua hari lalu dia menjual ikan kembung pada harga RM1 sekilogram tetapi bersaiz kecil.

Namun, katanya, bagi ikan pukat tangsi yang bersaiz sederhana, dia menjualnya pada harga RM3 sekilogram dan RM10 bagi empat kilogram.

“Ada pemborong dari Kelantan dan Kuala Lumpur membeli ikan terus dari sini kerana harganya lebih murah berbanding di negeri lain.

“Alhamdulillah, setiap hari pendaratan ikan kembung yang diperolehi antara 500kg hingga 1,200kg sehari bergantung pada keadaan cuaca,” katanya.

Nelayan, Mohd Amirul Ismail, 33, berkata, setiap hari tangkapan ikan kembung diperoleh dijual terus kepada pelanggan di pelantar itu sehingga habis.

Katanya, ikan kembung tidak boleh disimpan lama kerana mudah rosak dan perlu dijual terus kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 10:04 PM