PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Melati Ladun, 36, menjual ikan kembung pada harga RM10 untuk tiga kilogram, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Melati Ladun, 36, menjual ikan kembung pada harga RM10 untuk tiga kilogram, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


HARGA ikan kembung menurun sehingga RM3 sekilogram di Kedah berikutan lambakan bekalan di pasaran sejak seminggu lalu.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD), Abdul Hamid Bahari berkata, perubahan monsun timur laut menyebabkan tangkapan ikan dan hasil laut bertambah dan nelayan memperoleh hasil tangkapan yang banyak.

Beliau berkata, boleh dikatakan hampir semua 10,000 nelayan di negeri ini membabitkan 2,000 bot kelas A, B, C dan C2 turun ke laut untuk menangkap ikan dan mampu memperoleh sekurang-kurangnya 100 tan ikan sehari.

"Berikutan itu harga ikan kembung menurun sehingga mencecah RM3 hingga RM10 (mengikut saiz) sekilogram berbanding RM20 sekilogram ketika hasil tangkapan berkurangan sebelum ini.

"Permintaan untuk musim perayaan Tahun Baru Cina ini juga meningkat menyebabkan kita sudah membuat persediaan termasuk menyimpan 50 tan ikan beku di stor penyimpanan ikan beku di sini termasuk udang, sotong, ketam dan ikan," katanya ketika ditemui di Wisma Nelayan Kampung Gelunchor, Kuala Kedah, hari ini.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini kenaikan harga ikan adalah disebabkan faktor cuaca, laut bergelora yang menyebabkan hasil tangkapan berkurangan namun keadaan kini kembali pulih.

Selain itu, beliau turut menasihatkan nelayan supaya mengambil peluang ketika lambakan ikan supaya menyimpan bekalan yang ada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan angin.

"Orang ramai juga boleh membeli ikan terus di pelantar ikan milik nelayan kerana harganya jauh lebih murah berbanding di pasaran luar," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah mendapati ikan kembung dijual pada harga antara RM10 untuk tiga kilogram.

Nelayan, Norazlan Mohd Aslan, 38, berkata, mereka mampu membawa pulang 200 hingga 1,000 kilogram ikan kembung sehari sejak seminggu lalu.

Katanya, kebanyakan nelayan di pelantar itu menggunakan bot Zon A yang hanya turun ke laut sehingga enam ke 10 batu nautika seawal 6 pagi hingga 11 pagi setiap hari.

"Sebelum ini memang harga ikan mahal kerana kami hanya mampu memperoleh bekalan ikan antara 20 hingga 30 kilogram sehari disebabkan laut bergelora dan cuaca tidak menentu.

"Namun keadaan cuaca sekarang sudah kembali baik namun kami sentiasa berhati-hati ketika keluar menangkap ikan di laut kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Peniaga ikan, Melati Ladun, 36, berkata, harga ikan di situ tidak sama setiap hari dan bergantung pada hasil tangkapan.

"Kadang kala ikan dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram lebih kecil dari ikan sederhana tetapi kita tengok kalau hasil tangkapan banyak dan berlaku lambakan ikan, harganya akan turun.

"Tetapi sejak harga ikan murah, kami pulang lebih awal kerana ramai pelanggan membeli di sini pada awal pagi menyebabkan hasil jualan habis lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 5:53 PM