ALIAS Ismail, 48, menunjukan hasil ikan termenung yang diperolehinya hari ini. Nelayan menanti orang tengah membeli ikan termenung di pasar bisik Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda. FOTO Omar Osman
ALIAS Ismail, 48, menunjukan hasil ikan termenung yang diperolehinya hari ini. Nelayan menanti orang tengah membeli ikan termenung di pasar bisik Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda. FOTO Omar Osman
Omar Osman


TINDAKAN mengambil untung lebih dalam kalangan orang tengah dipercayai antara punca harga ikan kembung di Kedah melambung di pasaran sehingga mencecah RM20 sekilogram biarpun harga yang dijual nelayan lebih rendah.

Beberapa nelayan di Kampung Sungai Muda, Kota Kuala Muda yang ditemui, turut mengakui faktor cuaca menyebabkan ikan kembung agak sukar diperoleh kerana nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan berikutan angin kuat dan laut bergelora.

Nelayan, Alias Ismail, 48, berkata, orang tengah yang kawal harga pasaran ikan.

“Jika ikan kurang sekalipun, paling mahal dijual nelayan di pasar bisik Kuala Muda ini sekitar RM16 sekilogram sahaja sebaliknya jika ikan banyak seperti bulan lepas harganya sekadar RM4 hingga RM8 saja sekilogram,” katanya.

Alias berkata, tangkapan mereka semalam hanya 10 kilogram, dan ditolak kepada orang tengah atau peraih pada harga RM16 sekilogram, namun terpulang kepada mereka untuk menetapkan harga di pasaran.

"Kadangkala harga ikan kembung dijual orang tengah lebih tinggi dengan alasan kos minyak dan sebagainya.

"Memang sejak beberapa minggu ini cuaca tidak menentu, angin kuat dan laut bergelora menyebabkan saya dan nelayan semua tidak boleh pergi lebih jauh untuk cari ikan," katanya ketika ditemui di Pusat Pendaratan Ikan Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda, Mohd Kamal Abidin mengakui ada segelintir orang tengah mengambil kesempatan menjual ikan kembung di pasaran dengan harga yang lebih berikutan kekurangan ikan terbabit.

"Kita faham mereka mengambil kira kos minyak kenderaan datang ke sini, tetapi ada segelintir daripadanya mengambil untung terlalu lebih," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan harga pasaran ikan kembung di Kedah melonjak sehingga mencecah RM20 sekilogram sejak bulan lalu berikutan kekurangan hasil tangkapan dan cuaca yang tidak menentu.

Berita berkaitan:

Mahalnya ikan kembung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 5:06 PM