Mohd Yusrizal (kiri) melakukan tinjauan harga ikan di Pelantar Ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Mohd Yusrizal (kiri) melakukan tinjauan harga ikan di Pelantar Ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


HARGA pasaran ikan kembung di Kedah melonjak sehingga mencecah RM20 sekilogram sejak sebulan lalu berikutan kekurangan hasil tangkapan dan cuaca yang tidak menentu.

Tinjauan Harian Metro mendapati, peniaga ikan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah terpaksa menjual hasil tangkapan yang diperolehi walaupun jumlahnya agak sedikit.

Peniaga, Khatijah Md Shah, 43, berkata, harga ikan kembung bergantung pada saiz dan ada yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM16 sekilogram bergantung pada keadaan cuaca dan hasil tangkapan.

Katanya, harga jualan ikan di pelantar itu sering berubah setiap hari dan jika tangkapan terlalu sikit, ia dijual dengan harga mahal untuk menampung penggunaan minyak dan upah nelayan.

"Macam kat sini, ikan dijual secara terus oleh nelayan dengan harga murah berbanding jualan di pasar basah yang agak mahal.

"Sebelum ini, harga ikan kembung hanya RM5 hingga RM6 sekilogram bergantung pada saiz sebelum ia naik mendadak sehingga mencecah RM16 sekilogram.

"Selain ikan kembung, harga ikan dan hasil tangkapan lain juga meningkat disebabkan hasil tangkapan berkurangan dan kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana kami juga perlu menggunakan wang untuk persekolahan anak-anak," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, harga pasaran ikan dan sayuran di negeri meningkat terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina ini.

Beliau berkata, harga ikan kembung mencecah sehingga RM17 hingga RM20 di pasaran luar dan kenaikan itu dipercayai berpunca akibat hasil tangkapan yang kurang.

"Kita percaya kenaikan harga ini juga adalah disebabkan permintaan bekalan itu juga meningkat selain musim angin timur yang dijangka akan berlarutan sehingga bulan depan.

"Selain itu, saya dapati sayuran yang naik harga juga adalah seperti cili merah, tomato, kangkung dan sawi ketika membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar disebabkan kekurangan bekalan.

"Justeru itu, saya nasihatkan pengguna supaya bijak melakukan pembelian dan kenaikan harga ikan ini tidak dapat dielakkan kerana kekurangan hasil tangkapan seperti yang dimaklumkan oleh nelayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 5:15 PM