MAYAT Ow Chia Ling yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) tiga hari lalu ditemukan di bawah jambatan berkenaan oleh nelayan tempatan. FOTO Ihsan APMM
MAYAT Ow Chia Ling yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) tiga hari lalu ditemukan di bawah jambatan berkenaan oleh nelayan tempatan. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Satu lagi mayat lelaki yang dipercayai jatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) tiga hari lalu di sini, ditemukan hari ini.

Mayat ditemukan terapung oleh nelayan tempatan di bawah jambatan kedua itu sebelum menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat ditemukan berhampiran tiang ke-80 jambatan berkenaan pada jam 1.30 petang.

Katanya, bot Perkasa 1221 digerak ke lokasi bersama agensi berkaitan sejurus menerima maklumat.

"Mayat mangsa dibawa oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan diringi aset Maritim Malaysia ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

"Polis turut mengesahkan mayat berkenaan adalah individu yang terjun dari jambatan berkenaan pada 26 Oktober lalu," katanya di sini, hari ini.

Menurut Abd Razak, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

"Sehubungan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi kejadian berkenaan ditamatkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pada jam 4.15 petang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Ow Chia Ling, berusia 20 tahun dari Taman Cenderawasih Indah, Nibong Tebal, yang jatuh di Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 12.6 arah Batu Maung di sini.

Mangsa turut meninggalkan motosikal bersama kad pengenalan diri di atas jambatan berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:52 PM