LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Polis memberkas tukang cat kereta yang mengugut dan merempuh penunggang motosikal dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Pokok Sena, di sini, semalam.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 29 tahun itu dibuat di sekitar Tasek Gelugor kira-kira jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, berdasarkan semakan suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya," katanya, hari ini.

Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki diugut dan dilanggar individu tidak dikenali.

Ia susulan mangsa tampil membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpanya.

Terdahulu tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki yang memandu Proton Wira melanggar motosikal ditunggang mangsa.

Sebelum insiden, mangsa difahamkan menjerit ke arah suspek yang ketika itu memberhentikan keretanya di tepi jalan di sebuah gerai kuih berhampiran sebelum menyoal suspek yang memotong tanpa memberi isyarat.

Ekoran tidak berpuas hati, suspek dilihat meluncurkan keretanya ke arah mangsa sebelum melanggar sebanyak dua kali motosikal mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:12 PM