LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan ke atas pemandu Myvi putih yang memandu secara berbahaya dan bertindak menghayun sebatang kayu kepada pemandu lain di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Beh Eng Lai, polis menerima laporan polis dibuat lelaki pada 9 malam tadi berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu Perodua Myvi terbabit yang memandu secara berbahaya dan menghayunkan sebatang kayu ke arahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang, namun secara tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran PGT 124 yang berada di hadapan bertindak membrek sedikit-sedikit.

"Ia menyebabkan mangsa hampir berlanggar dengan kereta terbabit sebelum suspek mengeluarkan sebatang kayu panjang melalui tingkap keretanya sambil menjerit-jerit, namun mangsa tidak pasti apa yang dituturkan lelaki itu.

"Mangsa mengabaikan perkara itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa namun kejadian yang dialami mendatangkan kegusaran kepadanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, polis kini sedang dalam usaha mengesan suspek di dalam video yang dirakam oleh mangsa untuk membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Syukor di talian 012-76774731 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pemandu Myvi laku provokasi dicari polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 6:17 PM