Siti Rohana Idris


Tumpat: "Sebaik Azi sampai di rumah nanti, kami akan buat kenduri kesyukuran dan solat hajat di rumah sebagai tanda syukur adik ditemukan dengan selamat," kata kakak kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik 13 September lalu.

Wanita itu berkata, walaupun mereka sekeluarga tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai penemuan Azi, tapi apabila membaca kenyataan media oleh Ketua Polis Negara berhubung perkara itu, sudah memberi kelegaan buat mereka.

Menurutnya, solat hajat dan sujud syukur terus dibuat sebaik menerima berita gembira itu walau pada awalnya berasa ragu-ragu kerana berasakan ia berita palsu.

"Kami ada bertanyakan polis bila Azi akan dibawa pulang ke rumah tapi diberitahu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Sebaik dia pulang nanti, kami akan adakan kenduri kesyukuran, memberi jamuan kepada orang ramai kerana selain kami ahli keluarga, berita gembira ini juga hasil dari doa orang ramai.

"Kami sekeluarga memang tidak sabar untuk berjumpa Azi kerana ingin melihat keadaannya selain bertanyakan sendiri apa yang dilalui sepanjang lebih dua minggu diculik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

KERTAS ditampal di luar rumah mangsa. FOTO SITI ROHANA IDRIS
KERTAS ditampal di luar rumah mangsa. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Wanita itu berkata, kedua ibu bapa mereka hanya dimaklumkan pagi tadi mengenai berita penemuan Azi kerana ingin mengesahkan terlebih dahulu mengenai perkara itu bagi mengelakkan ia hanya harapan palsu.

Menurutnya lagi, pihaknya belum lagi berpeluang menghubungi mangsa yang ketika ini berada di Kuala Lumpur namun jika dapat berbuat demikian, mereka akan segera membuat panggilan video kerana ingin melihat sendiri keadaan Azi.

"Kami kini hanya tahu dia sudah dibawa pulang ke Malaysia manakala maklumat lain tidak dimaklumkan termasuk di mana lokasinya dan keadaannya sekarang.

"Anaknya juga mungkin sudah diberitahu mengenai hal ini oleh keluarga suami Azi. Sejak Azi hilang, anak saudara menetap di sana (Kota Bharu)," katanya.

Sementara itu tinjauan di perkarangan rumah mangsa di sini, mendapati suasana kelihatan sunyi dan tiada pergerakan keluar masuk penghuni berlaku.

Turut ditampal lima kertas bersaiz A4 di pagar rumah yang tidak membenarkan pengamal media masuk selain memaklumkan Azi masih belum pulang ke rumah.

SUASANA sunyi dan tiada pergerakan di perkarangan rumah mangsa di Kampung Semat Jal, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
SUASANA sunyi dan tiada pergerakan di perkarangan rumah mangsa di Kampung Semat Jal, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:39 AM